Wednesday, January 03, 2024

Selamat Datang 2024

Bismillah.. Dengan nama Allah yang Maha Agung. Telah lama kiranya saya tidak menulis di Blog kesayangan ini. Setahun -- Bukanlah satu tempoh yang singkat. 2023 merupakan satu perjalanan kehidupan saya yang boleh dikatakan berada pada roda di bawah. Pelbagai sudut diuji -- Kewangan, perniagaan, kesihatan dan semestinya ada naik dan turun emosi.


Namun, saya sedar saya hanyalah seorang 'pelakon' di pentas dunia. Yang mana Allah telah tuliskan skripnya untuk saya lakonkan. Jadi, lakonkan dengan baik. Dunia ini tempat untuk kita melaksanakan amanah yang telah diberikan sejak berada di Luh Mahfuz lagi. Saya belajar melihat dunia dari satah yang berbeza. Belajar untuk lebih bersabar dan bersyukur.

Di awal tahun baru ini, saya berdoa agar saya dan kita semua dapat buat dengan lebih baik. Lakonkan 'watak' kita dengan lebih baik dan cemerlang. Tidak ada satu pun yang berlaku terlepas dari pengetahuan dan perancangan Dia. Maka selalulah berlapang dada, bersangka baik dan terus tumbuh sebagai seorang Muslim yang sentiasa mendapat keredhaan Allah.

Jom muhasabah!

Tahun 2023 -- Cabaran awal bermula apabila dealing perniagaan tidak berjalan lancar. Keadaan ini menjadikan saya sentiasa berada dalam keadaan tidak gembira, risau dan berkeluh kesah. Mula menyalahkan orang lain apabila bertemu kegagalan. Mula melihat faktor luaran menjadi sebab kegagalan. Apabila mula berada dalam masalah, maka teruslah menarik satu persatu masalah masuk ke dalam kehidupan. Bermula dengan masalah perniagaan, kemudian masalah kewangan, lepas itu masalah kereta rosak, hampir kena saman dengan pihak 'tertentu' dan apabila sampai tahap stres yang tinggi masalah kesihatan pula yang dapat. Kesihatan fizikal dan mental terganggu. Allah... Masa ni terasa tidak adil! Istighfar panjang. Terdetik di hati, "Kenapa lepas satu, satu lagi masalah lain datang.."

Saya menarik hand break agak panjang, beberapa bulan. Untuk hilang dari radar. Untuk beri ruang kepada diri berfikir mendalam tentang apakah matlamat yang nak dicapai dalam hidup. Apakah kegembiraan sebenar yang nak dicapai. Adakah dengan ada perniagaan berjaya akan bahagia? Adakah dengan adanya banyak wang akan gembira? Soalan-soalan itu selalu mengganggu siang dan malam sehinggalah sampai pada satu titik, saya bertemu jawapannya. Perjalanan untuk bahagia dan tenang bukan pada perniagaan, bukan pada wang banyak, tetapi pada RASA. Bagaimana untuk dapatkan rasa itu? Berbaliklah kepadaNya. Maha Pencipta Alam Semesta. 

2023 adalah tahun air mata untuk saya. Saya petik kata-kata seorang sahabat, AJ Nuruddin -- "Bahasa CINTA orang khidmat ni, dia kira nak tolong orang ja... mudahkan orang ja. Bila tiba masa dia, dia harap orang faham dan tolong ja terus. Dia takkan minta tolong." Benar, sampai satu tahap memang rasa hidup ini terlalu menekan. Sampaikan rasa buntu apa perlu buat.  Bebanan hutang, komitmen dan kos-kos kehidupan sentiasa bermain di layar fikiran. Namun, tidak diceritakan pada keluarga atau sesiapa pun tentang kesulitan ini.

Allah sayang... Allah nak angkat darjat. Itulah kata-kata pujukan kepada diri sendiri apabila pada pertengahan tahun 2023 saya diuji dengan ujian kesihatan. Seperti satu batu besar terhempap atas kepala. Menangis, salahkan takdir, persoalkan Allah, rasa putus asa, kecewa, tidak tahu nak memberi reaksi, buntu, itu semua saya rasa bersilih ganti. Sudahlah kewangan kami diuji, saya pula perlukan wang untuk rawatan. Sudah jatuh, jatuh lagi ke bawah -- Negatif!

Namun, dalam kekacauan jiwa itu saya panjatkan sebuah kesyukuran yang sangat tidak mampu dinilaikan dengan apapun, iaitu pasangan sehidup sematiku yang sentiasa ada untuk rawat rawan di hati. Ya... Kami bersama mengharungi jalan berliku dan susah payah ini. Banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan. Tidak mudah, namun Alhamdulillah kami boleh hadapi dengan baik satu persatu dengan izinNya.

Akhirnya, saya sedar -- Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Saya tidak lagi nampak ianya sebagai sebuah 'kegagalan', tetapi saya melihat dari perspektif yang berbeza. Ketidak berhasilan menjadikan saya lebih bersabar. Menjadikan saya lebih stabil dalam pengawalan emosi. Lebih banyak syukur. Lebih mudah berfikir dengan baik dan bersangka semuanya baik.

Dilimpahi harta bukan bererti disayangiNya. Diuji dengan kekurangan bukan tanda kifarah. Sabar dan Syukur menjadi ukuran. Tenang-tenang sahaja. Akhirnya kita semua nak kembali kepadaNya dalam keadaan yang selamat dan diredhai. Itu matlamat paling utama.

Tahun 2024 - Sebuah permulaan yang memberikan satu nafas baru yang lebih positif. Tidak mahu lagi terus menarik masalah. Berpegang dengan lebih teguh bahawa setiap masalah Allah hadirkan sekali dengan hikmahnya. Cuma terkadang tidak nampak hikmah tersebut. Teruskan melangkah dengan bahagia. Raikan ruang, rasa dan kesempatan yang ada.

InsyaAllah.. Segalanya akan baik-baik sahaja. :)






Read More

Thursday, December 15, 2022

Kumpul Modal Untuk Mama Qucing

 


"Apa sayang nak buat kalau ada duit lebihan RM500,000?.." 

Secara tiba-tiba MH tanya random question kepada saya. Tersentak saya. Cepat-cepat saya mengunyah dan menelan roti canai garing yang masih berbaki di dalam mulut dan mencari jawapan yang logik difikiran ketika itu.

"Wahhh.. Ni impian besar ni. Memang lah sekarang saving tak sebanyak itu. Tapi apa salahnya kalau kita ada impian kan?.." Soal saya kembali. MH hanya tersenyum sambil angguk-angguk perlahan.

"OK, jadi apa impian sayang kalau ada duit sebanyak itu? Dengan mengambil kira komitmen dan hutang dah settle, tanggungjawab kepada keluarga dan komuniti dah settle..?" Soal MH lagi.

Saya memang ada beberapa impian yang besar. Salah satunya adalah impian membina sabuah Cat Shelter. Impian ini timbul sejak awal tahun 2020. Ketika itu permulaan kepada kami berdua adopt seekor kucing berbaka Turkish Angora yang bernama Popoy dari seorang askar yang akan ditugaskan ke Lubnan. Pelbagai ujian dan cabaran kami hadapi demi membesarkan seekor Popoy.. Hehehe..

Selang beberapa bulan selepas itu, kami selamatkan pula seekor kucing yang sering dikejar anjing, yang kami namakan Olive. MH ambil dia di bawah blok Condo selepas balik terawih malam tu. Walaupun stray cat, tapi manja sangat-sangat. Cepat betul mesra. Keduanya kami jadikan fully indoor cat.

Popoy & Olive - our sweetheart at home :)

Kalau nak tahu, saya bukan penggemar kucing. Boleh dikatakan saya takut kucing. Keluarga saya sedia maklum dengan gelagat saya kalau kucing datang berdekatan dengan saya. Geli tu naik sampai ke tengkuk. Meremang! Tapi, segalanya berubah sejak kami mencurahkan kasih sayang dan berkongsi rezeki dengan Popoy dan Olive. Sayang saya pada kucing sampaikan saya boleh tersentuh dan menangis tengok kucing -kucing terbiar yang sakit, kurang sempurna, didera atau dibuang.


Disebabkan keadaan ekonomi dan komitmen kami sekarang, menjadi agak mustahil untuk kami membela banyak kucing. Dari situlah saya tanamkan niat untuk bangunkan Cat Shelter. 

Proposal saya, Cat Shelter tu (nanti saya nak namakan Mama Qucing Cat Shelter) adalah tempat saya selamatkan, rawat dan sediakan tempat berteduh untuk kucing-kucing jalanan yang kurang bernasib baik. Untuk merealisasikan impian tersebut, saya perlu cari lokasi yang sesuai, tanah yang lapang, dan selamat dari kawasan banjir dan bencana alam. Saya dah terbayangkan Cat Shelter Mama Qucing nanti ada wad kuarantin, wad ibu kucing yang bunting, wad kucing yang sakit dan ada playground untuk kucing bebas bermain. 

Selain itu, saya juga akan buka peluang pekerjaan untuk cat loverscat's groomer dan pembekal makanan dan barangan kucing untuk bersama-sama menjayakan impian ini.



MH sambung lagi.. "So macam mana konsep Cat Shelter tu.. Cuba share brief idea.."

Haa... Ni yang saya suka. MH selalu beri perhatian atas apa yang saya suka. Konsep saya lebih kepada foundation. Saya akan beri fund untuk modal kepada Cat Shelter yang kurang modal untuk bangunkan sistem dan konsep rumah perlindungan yang bersistematik. Tapi, mestilah ikut garis panduan yang saya akan sediakan. Selain itu, kucing-kucing yang telah dirawat dan melalui fasa TNR akan saya buka untuk adoption


Konsep saya, selamatkan kucing jalanan, berikan mereka forever home yang boleh mereka berkongsi kasih dan berkongsi rezeki. Saya tidak bercadang untuk menjadi Breeder. Saya hanya selamatkan kucing dan berikan mereka harapan baru. InsyaAllah...

Seusai saya kongsikan impian saya, MH tersenyum lebar. Dia menyokong penuh idea dan impian saya.


Kawan-kawan, tolong doakan kami ya. Banyak impian yang kami harapkan. Dalam memberi kebahagiaan kepada diri, ibu bapa dan keluarga serta masyarakat.

Semoga Allah berkati. Amin.

Pen Off~
Read More

Saturday, December 03, 2022

Someone to Love, Something to Do, and Something to Hope For

"They say a person needs just three things to be truly happy in this world: Someone to love, something to do, and something to hope for."


Apa erti kebahagiaan buat anda? Bagi saya, kebahagiaan adalah SYUKUR. Syukur masih diberi peluang untuk bernafas, sihat, berfikiran waras dan banyak lagi. Ni semua adalah sumber kebahagiaan.

Saya nak berkongsi mengenai kebahagiaan baharu yang saya rasai pada pertengahan bulan Oktober yang lepas. Tidak dinafikan dalam kehidupan kita sebagai manusia ada pasang surutnya, ada suka duka, ada cerita sedih dan gembira. Begitu juga saya. Setelah melalui beberapa kisah sedih, Alhamdulillah Allah rezekikan kami untuk pindah ke rumah baru, suasana baru. 

15 Oktober 2022 officially kami berpindah masuk ke Eco Majestic, Semenyih. Sebelum ini, kami tinggal di Tropicana Height, Kajang selama 18 bulan sahaja. Bukan tidak seronok tinggal di Kajang, tapi ada beberapa sebab lain kenapa kami buat keputusan untuk berpindah lagi. Sejak kami berkahwin, ini adalah rumah ke-6 kami diami. Bermula di Bangi Lama - Bangi - Setapak - Cheras - Kajang dan kini Semenyih.

FAKTOR KENAPA PILIH ECO MAJESTIC

Pertama, kami memang mencari perumahan yang selamat dan ada fasiliti. Definisi selamat bagi kami adalah ada security, gated & guarded. Di sini, bab keselamatan boleh consider 'free of mind'. CCTV sekeliling kawasan perumahan, group whatsapp penduduk aktif dan positif, segala fasiliti di selenggara dan dijaga dengan baik. Fasiliti sangat penting bagi kami kerana diusia begini, tidak mahu lagi berada di dalam kesesakan dan hiruk pikuk kota. Kiranya balik kerja tu, dah boleh balik rumah untuk bertenang dan berehat dengan aman. Kemudahan lain dan kedai pun banyak di sini. Kira 'bandar hidup' lah jugak kan.



Kedua, perumahan strata. Ha, pelik kan? Tak ramai yang berminat dengan status perumahan strata ni, termasuklah saya suatu ketika dahulu. But, when times goes by, saya pilih untuk melihat sesuatu yang simple, kemas dan teratur. Kalau dulu saya berpendapat rugi duduk rumah strata ni sebab tak boleh renovate, ubah-ubah ikut minat. Tapi, setelah visit beberapa kali kawasan rumah strata, saya jadi jatuh cinta pula. Keseragaman di kawasan perumahan tu buatkan hati saya tenang. Takde lah sekejap rumah tu cat biru, rumah depan cat kelabu, rumah kiri naik tembok batu sampai bumbung, rumah kanan naik porch sama tinggi dengan pokok nangka. Gittew...

Ketiga, belakang rumah kami ada tasik dan taman! Privacy dan view best. Saya set up home office di bilik tingkat dua. Ada balkoni dan sliding door untuk keluar dapatkan view tasik tu. Dah penat mengadap laptop, rest sekejap di balkoni. Ngam!

Keempat, menjimatkan masa mengemas rumah. Sebelum berpindah ke sini, kami tinggal di rumah 3 tingkat di Tropicana Heights. Pada mulanya pilih sana disebabkan kami perlukan bilik extra untuk set up SOHO, bilik kucing, bilik tetamu dan bilik mendobi. Saya akui, semasa PKP, semuanya best sebab ada extra masa di rumah untuk mengemas dan deep clean. Tapi selepas kawalan pergerakan tamat, business as usual, banyak masa kami berurusan di luar. Jadinya masa untuk home maintenance routine agak sukar nak di adapt. Sekarang, rumah 2 tingkat sahaja yang kecil sedikit membuatkan saya mudah nak manage. Ye lah, lokasi dan best, rumah dah best, tentulah kita nak balik rumah nak berehat di rumah yang kemas dan bersih kan.

Kelima, kami rancang untuk 'Stay & Buy'. Adapt dengan suasana, rumah dan persekitaran sebelum decide untuk beli rumah hari tua kami. Frankly, saya lebih suka Kajang, tapi sejak ada beberapa condo naik di situ, kawasan jadi padat pula. So kita tengok dulu Semenyih ni macam mana peginya. 

Korang pula macam mana? Apa kriteria pemilihan untuk membeli rumah untuk settle down nanti? Share lah...


Read More

Main Kutu Cara Selamat dan Menarik dengan Maybank2U

Rakyat Malaysia ni kalau sebut 'main kutu' mesti faham maksudnya kan? Ramai yang terjebak dari zaman sekolah lagi, sampailah dah kerja dan bersara, masih seronok 'main kutu'. Ada yang kumpulkan kawan-kawan di tempat kerja, BFF zaman belajar, dan saudara mara.

Setiap orang pasti ada matlamat tersendiri kenapa menyimpan sejumlah wang dengan nilai-nilai tertentu. Dan bermain kutu dikatakan boleh mendisiplinkan diri kerana setiap bulan 'terpaksa' menyerahkan duit kutu kepada ketua yang dilantik untuk menguruskan kutipan duit kutu. Dengan itu, kita boleh tentukan nombor giliran untuk terima duit kutu tersebut atau mendapat giliran melalui cabutan undi. Bergantung kepada persetujuan bersama.

Aktiviti ini dianggap normal dikalangan masyarakat, namun sebenarnya ia adalah salah dari segi undang-undang di Malaysia kerana ianya melibatkan risiko penyelewengan dan penipuan. Bukan itu sahaja, menurut Ustaz Azhar Idrus (sila rujuk ceramah beliau di Youtube), hukum bermain kutu ini akan jatuh haram jika tidak dilafazkan akad.

Jadi, bagaimana untuk mengelakkan daripada situasi ini berlaku kepada diri kita sendiri? Apa kata anda cuba dengan lebih moden dan bersistematik iaitu dengan menggunakan akaun simpanan bank sendiri. Lebih mudah, lebih dipercayai dan terhindar dari risiko duit lesap.

Saya sebenarnya baru lagi tahu tentang kaedah ini. Few months back terbaca tentang kaedah ini, tapi tak ambil serius lagi. Jadinya, bulan lepas, saya start sikit dulu nak ambik feel. Caranya sangat mudah.

Cuma buka website Maybank2u tu, dan cari fungsi 'Create Goal +'. Kemudian kita decide lah apa tujuan kita simpan ni, berapa lama nak simpan. Contoh, saya plan nak simpan duit poket untuk pergi Travel, simpanan selama setahun, dengan jumlah RM1000. Anda create lah seberapa banyak goal yang anda mahu mengikut kemampuan dan keperluan anda.

Maybank akan auto tolak duit dari akaun simpanan kita ikut apa yang kita dah decide. Lepas tu, bila dah cukup tempoh yang kita nak tu, jumlah semua duit yang terkumpul dalam 'Goal' kita tu akan masuk semula ke akaun bank kita secara automatik!. Jadinya tak adalah kes duit hilang lah, kena tipu lah dan sebagainya. Lebih selamat!





Jadinya, jom kita menyimpan / main kutu cara Maybank2u. Lebih selamat, efisyen dan bersistematik.








Read More

Saturday, December 18, 2021

Selamat Tinggal 2021



Alhamdulillah, 2021 semakin hampir melabuhkan tirainya. Saya pasti pelbagai pencapaian yang telah kita sama-sama raikan. Ada yang di naikkan pangkat, ada yang beli aset seperti tanah dan rumah, ada yang mula buat pelaburan emas, dan ramai juga yang telah kembali menaikkan dan meluaskan lagi empayar perniagaan.

Syukur ke hadrat Illahi, Tahun 2021 mencatatkan beberapa peristiwa penting di dalam hidup saya. Ada suka, ada juga duka. Ada gembira, namun ada juga kesedihan itu. Namun, hidup perlu diteruskan. Gear 2022 perlu dimulakan dari sekarang.

2021, bagi saya tahun yang agak mencabar berbanding tahun-tahun sebelumnya. Dengan permulaan penghijrahan saya di tempat baru, kehilangan insan tersayang (nenda), kucing kesayangan diuji FIV, saya dan suami pernah diuji Covid, diuji juga ketidakstabilan status kewangan, dan pelbagai lagi lah. Walau apa pun, sentiasa bersangka baik dengan Allah. Pasti ada hikmah disebalik semua yang berlaku.

Harapan saya untuk tahun 2022 adalah tahun yang lebih baik. Saya ada satu matlamat baru. Satu matlamat sahaja untuk 2022 dan tahun-tahun kehadapan, iaitu menjadi MUSLIM PREPPERS!

Banyak elemen lagi yang perlu saya top-up untuk menjadi Muslim Preppers. Antara yang utama, saya perlu belajar memanah dan mahir memanah. InsyaAllah di penghujung tahun 2022, saya boleh jadi salah sorang facilitator memanah, di mana saya mampu untuk menyemarakkan kecintaan terhadap sukan Sunnah ini kepada lebih ramai orang.

Antara elemen lain yang penting untuk menjadi Muslim Preppers adalah kekukuhan kewangan. Tidak boleh dinafikan, saya perlu lebih berusaha keras untuk membangunkan perniagaan dan meluaskan lagi empayar perniagaan tersebut. Moga Allah makbulkan segala doa. Aamiinn.

Kekukuhan kewangan ni penting bagi Muslim Preppers. Persiapan makanan dan kit kecemasan semuanya memerlukan belanja yang besar. Persiapan kecergasan dan ketangkasan memerlukan belanja (berkuda dan memanah), peruntukan untuk Jemaah dan infaq, perbelanjaan bagi pembangunan jati diri lagi, peruntukan untuk kemaslahatan keluarga besar saya, dan pelbagai lagi lah. Memang perlu diperincikan betul-betul untuk tahun 2022.

InsyaAllah, moga ada keberkatan di setiap apa yang saya dan my Mr Heartthrob usahakan. Doakan kami ya, kawan-kawan… Saya juga doakan kembali kepada anda agar setiap apa yang anda lakukan menemui kejayaan dan diredhai Allah.

Selamat Menyambut Tahun Baru 2022.

--------------------------------------------------

Berminat untuk menjadi Muslim Preppers juga? Tapi tak tahu nak bermula di mana? Jom beli Buku Rahsia Keluarga Selamat di Akhir Zaman. Klik link ni : http://nak.la/SpecialRKSAZ

Maklumkan kepada saya jika dah beli, untuk saya bantu masuk ke Telegram Group Support Bedah Buku 90 Hari.

Read More