Wednesday, January 03, 2024

Selamat Datang 2024

Bismillah.. Dengan nama Allah yang Maha Agung. Telah lama kiranya saya tidak menulis di Blog kesayangan ini. Setahun -- Bukanlah satu tempoh yang singkat. 2023 merupakan satu perjalanan kehidupan saya yang boleh dikatakan berada pada roda di bawah. Pelbagai sudut diuji -- Kewangan, perniagaan, kesihatan dan semestinya ada naik dan turun emosi.


Namun, saya sedar saya hanyalah seorang 'pelakon' di pentas dunia. Yang mana Allah telah tuliskan skripnya untuk saya lakonkan. Jadi, lakonkan dengan baik. Dunia ini tempat untuk kita melaksanakan amanah yang telah diberikan sejak berada di Luh Mahfuz lagi. Saya belajar melihat dunia dari satah yang berbeza. Belajar untuk lebih bersabar dan bersyukur.

Di awal tahun baru ini, saya berdoa agar saya dan kita semua dapat buat dengan lebih baik. Lakonkan 'watak' kita dengan lebih baik dan cemerlang. Tidak ada satu pun yang berlaku terlepas dari pengetahuan dan perancangan Dia. Maka selalulah berlapang dada, bersangka baik dan terus tumbuh sebagai seorang Muslim yang sentiasa mendapat keredhaan Allah.

Jom muhasabah!

Tahun 2023 -- Cabaran awal bermula apabila dealing perniagaan tidak berjalan lancar. Keadaan ini menjadikan saya sentiasa berada dalam keadaan tidak gembira, risau dan berkeluh kesah. Mula menyalahkan orang lain apabila bertemu kegagalan. Mula melihat faktor luaran menjadi sebab kegagalan. Apabila mula berada dalam masalah, maka teruslah menarik satu persatu masalah masuk ke dalam kehidupan. Bermula dengan masalah perniagaan, kemudian masalah kewangan, lepas itu masalah kereta rosak, hampir kena saman dengan pihak 'tertentu' dan apabila sampai tahap stres yang tinggi masalah kesihatan pula yang dapat. Kesihatan fizikal dan mental terganggu. Allah... Masa ni terasa tidak adil! Istighfar panjang. Terdetik di hati, "Kenapa lepas satu, satu lagi masalah lain datang.."

Saya menarik hand break agak panjang, beberapa bulan. Untuk hilang dari radar. Untuk beri ruang kepada diri berfikir mendalam tentang apakah matlamat yang nak dicapai dalam hidup. Apakah kegembiraan sebenar yang nak dicapai. Adakah dengan ada perniagaan berjaya akan bahagia? Adakah dengan adanya banyak wang akan gembira? Soalan-soalan itu selalu mengganggu siang dan malam sehinggalah sampai pada satu titik, saya bertemu jawapannya. Perjalanan untuk bahagia dan tenang bukan pada perniagaan, bukan pada wang banyak, tetapi pada RASA. Bagaimana untuk dapatkan rasa itu? Berbaliklah kepadaNya. Maha Pencipta Alam Semesta. 

2023 adalah tahun air mata untuk saya. Saya petik kata-kata seorang sahabat, AJ Nuruddin -- "Bahasa CINTA orang khidmat ni, dia kira nak tolong orang ja... mudahkan orang ja. Bila tiba masa dia, dia harap orang faham dan tolong ja terus. Dia takkan minta tolong." Benar, sampai satu tahap memang rasa hidup ini terlalu menekan. Sampaikan rasa buntu apa perlu buat.  Bebanan hutang, komitmen dan kos-kos kehidupan sentiasa bermain di layar fikiran. Namun, tidak diceritakan pada keluarga atau sesiapa pun tentang kesulitan ini.

Allah sayang... Allah nak angkat darjat. Itulah kata-kata pujukan kepada diri sendiri apabila pada pertengahan tahun 2023 saya diuji dengan ujian kesihatan. Seperti satu batu besar terhempap atas kepala. Menangis, salahkan takdir, persoalkan Allah, rasa putus asa, kecewa, tidak tahu nak memberi reaksi, buntu, itu semua saya rasa bersilih ganti. Sudahlah kewangan kami diuji, saya pula perlukan wang untuk rawatan. Sudah jatuh, jatuh lagi ke bawah -- Negatif!

Namun, dalam kekacauan jiwa itu saya panjatkan sebuah kesyukuran yang sangat tidak mampu dinilaikan dengan apapun, iaitu pasangan sehidup sematiku yang sentiasa ada untuk rawat rawan di hati. Ya... Kami bersama mengharungi jalan berliku dan susah payah ini. Banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan. Tidak mudah, namun Alhamdulillah kami boleh hadapi dengan baik satu persatu dengan izinNya.

Akhirnya, saya sedar -- Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Saya tidak lagi nampak ianya sebagai sebuah 'kegagalan', tetapi saya melihat dari perspektif yang berbeza. Ketidak berhasilan menjadikan saya lebih bersabar. Menjadikan saya lebih stabil dalam pengawalan emosi. Lebih banyak syukur. Lebih mudah berfikir dengan baik dan bersangka semuanya baik.

Dilimpahi harta bukan bererti disayangiNya. Diuji dengan kekurangan bukan tanda kifarah. Sabar dan Syukur menjadi ukuran. Tenang-tenang sahaja. Akhirnya kita semua nak kembali kepadaNya dalam keadaan yang selamat dan diredhai. Itu matlamat paling utama.

Tahun 2024 - Sebuah permulaan yang memberikan satu nafas baru yang lebih positif. Tidak mahu lagi terus menarik masalah. Berpegang dengan lebih teguh bahawa setiap masalah Allah hadirkan sekali dengan hikmahnya. Cuma terkadang tidak nampak hikmah tersebut. Teruskan melangkah dengan bahagia. Raikan ruang, rasa dan kesempatan yang ada.

InsyaAllah.. Segalanya akan baik-baik sahaja. :)






1 comments:

Huikee said...

Thank you for the enthusiasm and energy you bring to your writing.